Jumaat, 17 Mei 2013

REFLEKSI MINGGU KE-8


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

         Untuk minggu ke-8 ini, saya dan rakan-rakan telah  meneruskan lagi sesi pembentangan tapi kali ini bagi para pelajar yang belum lagi membentang  dengan tajuk sama seperti minggu lepas iaitu strategi pengajaran yang berkesan. Setelah selesai perbentangan, pensyarah kami iaitu  Dr Zuraidah telah memberi penilaian dan pandangan kepada kami. Selepas itu, Dr. Zuraidah telah meminta dua orang daripada kami untuk memberi penerangan tentang tugasan yang telah diberikan pada minggu sebelum cuti iaitu berkenaan dengan rancangan pengajaran tahun 4 (setiap pelajar diminta untuk melakukan pemantauan tentang pengajaran seni tahun 4 di sekolah yang telah mereka pergi).  Tujuannya adalah bagi membolehkan kami mengetahui tentang strategi pengajaran, kaedah dan juga teknik pengajaran yang digunakan oleh guru-guru di sekolah-sekolah rendah terutamanya pengajaran seni tahun empat.
           Bagi tugas ini, saya telah membuat pemantauan berkaitan strategi pengajaran di sekolah rendah saya dahulu iaitu di Sekolah Rendah Kebangsaan Bunut Susu. Namun begitu, terdapat beberapa prosedur yang perlu dipatuhi sebelum pemerhatian di dalam kelas dilakukan. Antara prosedur utamanya adalah saya dikehendaki menyerahkan surat bukti   kerja lapangan yang telah disediakan dan disahkan terlebih dahulu kepada pihak sekolah. Setelah diluluskan oleh pihak sekolah barulah proses pemerhatian dan pemantauan di dalam kelas dijalankan.
           Ketika, kelas pendidikan seni  berlangsung, guru matapelajaran ini telah menggunakan pelbagai bahan bagi menarik minat muri-murid terhadap apa yang diajarkan. Berdasarkan pemerhatian saya , guru seni telah menggunakan kemudahan teknologi iaitu komputer sebagai alat bantu mengajar dengan menayangkan beberapa gambar dan video-video berkaitan teknik-teknik menghasilkan sesebuah karya seni yang indah. Melalui tayangan gambar dan video ini murid-murid dilihat memahami tentang apa yang cuba disampaikan oleh guru mereka sekaligus membantu mereka untuk berimaginasi dalam mencari ilham bagi penghasilan karya mereka.
           Kesimpulannya, dengan adanya aktiviti pemantauan dan pemerhatian  ini, saya dapat memahami tugas seorang guru dan bagaimana untuk menarik minat seseorang murid untuk mengikuti pelajaran. Saya merasakan bahawa tugas sebagai seorang guru adalah satu tugas yang agak mencabar kerana terdapat pelbagai karenah murid-murid  dan seseorang guru itu perlu tahu bagaimana untuk mengawal serta mencurahkan ilmu dengan berkesan kepada mereka.


Sekian, terima kasih...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan