Isnin, 25 Mac 2013

MAKNA "HUMANISTIK LEARNING/PEMBELAJARAN HUMANISTIK"

Humanistik learning bermaksud satu aliran psikologi yang telah muncul semasa 1950(atau lebih awal lagi), merupakan satu proses dalam mendidik manusia agar memiliki sikap atau sifat sebenar yang patut ada dalam diri seseorang manusia. Humanistik learning juga merupakan pelengkap kepada "behaviorisme dan psikoanalis(berkaitan psikologi dan pembelajaran)". Antara pelopor dan tokoh-tokoh penting dalam bidang humanistik ini adalah Abraham Maslow, Carl R.Rogers, dan Arthur Combs. Dalam humanistik learning seseorang pendidik itu dianggap telah berjaya apabila para pelajarnya dapat memahami dan menguasai apa yang telah diajarkan kepada mereka. Menurut tokoh-tokoh humanistik seseorang individu itu sebenarnya mempunyai keupayaan yang tersembunyi dalam diri mereka. Maka, menjadi tanggungjawab pendidik-pendidik untuk membantu dan mengasah keupayaan-keupayaan yang ada pada para pelajar mereka serta membantu mereka untuk lebih mengenali diri mereka sendiri sebagai seorang manusia. Oleh sebab itu, humanistik learning ini amat penting dalam membantu pelajar untuk menjadi seorang manusia yang cemerlang dan berguna di masa hadapan.

MAKNA "BEHAVIOR LEARNING/PEMBELAJARAN TINGKAH LAKU"

Pembelajaran merupakan satu proses perubahan dalam hidup manusia yang bermula dari satu tahap ke satu tahap yang lain dan banyak dipengaruhi oleh pengalaman yang dilalui dalam hidup seseorang individu itu. Asasnya, "Behavior Learning" merupakan kaedah pembelajaran yang menumpukan kepada  aspek tingkah laku seseorang individu yang boleh dinilai dan diukur. Behavior learning merujuk kepada kaedah yang digunakan oleh pendidik bagi meningkatkan tingkah laku pelajarnya ke arah lebih baik melalui pelbagai cara seperti memberi dorongan, penghargaan, pujian dan lain-lain. Sebagai contohnya apabila seorang pelajar itu menunjukkan prestasi yang baik semasa pembelajaran, seseorang guru atau pendidik yang memberi hadiah sebagai penghargaan dapat merubah tingkah laku pelajar tersebut untuk menjadi lebih bersemangat untuk belajar. Melalui behavior learning potensi dan bakat yang wujud dalam diri seseorang itu dapat dicungkil serta dipertingkatkan ke satu tahap yang lebih baik. Tambahan lagi, semasa proses ini berlangsung para pendidik bukan sahaja perlu menghargai, memuji dan memberi dorongan tetapi pendidik juga perlu menegur atau memperbetulkan kesilapan yang dilakukan para pelajarnya. Kesimpulannya, "behavior learning" ini amat penting dalam meningkatkan lagi pencapaian pendidik dan pelajar dalam proses pembelajaran. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa tokoh-tokoh yang memperjuangkannya seperti Pavlor dan Watson amat menekankan supaya ianya dipraktikkan oleh para pendidik semasa proses pembelajaran berlangsung

ANALISIS FPK DENGAN RUJUKAN KEPADA PELBAGAI CABANG FALSAFAH

Seperti mana yang kita tahu, setiap perkara yang ingin dilakukan itu haruslah mempunyai satu penunjuk atau panduannya yang tersendiri dan FPK ini adalah satu penunjuk arah atau panduan untuk sistem pendidikan yang terdapat di negara kita. Secara amnya, FPK menjadi teras atau asas kepada kesemua dasar-dasar berkaitan dengan sisitem pendidikan yang wujud di dalam negara Malaysia. FPK merupakan salah satu daripada cabang falsafah pendidikan yang menerapkan dan menjadikan cabang falsafah lain sebagai rujukan. Antara cabang-cabang falsafah yang menjadi rujukan adalah cabang epistemologi, metafizik, aksiologi dan logik.  Epistemologi merupakan satu cabang falsafah yang menumpukan pada ilmu terutamanya pada sifat semulajadi ilmu. Metafizik pula berkaitan dengan pemikiran terhadap kewujudan sesuatu dan berfokus kepada pertalian antara sebab serta akibat. Manakala aksiologi pula merujuk kepada suatu bidang yang berhubungkait dengan persoalan nilai dan sistem nilai serta terdiri daripada estetika dan etika. Akhir sekali, logik yang merujuk kepada pemikiran tepat dan berkaitan dengan hubungan antara idea dan prosedur bagi membezakan pemikiran yang betul atau salah. Kesimpulannya, FPK sememangnya mempunyai kaitan dan rujukan kepada pelbagai cabang falsafah.

Khamis, 21 Mac 2013

Bagaimanakah cabang falsafah ini berkaitan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan(PFK)

Umumnya, falsafah-falsafah ini wujud bertujuan untuk menetapkan matlamat pendidikan dan digunakan bagi membuat keputusan membina kokurikulum. Di Malaysia, Falsafah Pendidikan Kebangsaan(PFK) sebenarnya bertujuan untuk meningkatkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan individu yang seimbang dan harmoni dari pelbagai aspek kehidupan. Melalui objektif ini, diharapkan dapat melahirkan warganegara yang lengkap dengan ilmu, berakhlak tinggi dan bertanggungjawab serta menjadi seorang rakyat yang baik terhadap negara ini. Falsafah ini mampu membentuk sistem pendidikan negara kita dari peringkat terbawah kepada peringkat tertinggi iaitu peringkat ipta. Terdapat empat cabang falsafah utama yang berkaitan dengan FPK iaitu metafizik, epistemologi, aksiologi dan logik, kesemuanya membantu FPK dalam mencapai objektifnya. Menerusi pengaplikasian falsafah-falsafah ini, sistem pendidikan di dalam negara kita dapat dipertingkatkan lagi ke tahap yang lebih baik. Sebagai contohnya, dalam FPK terdapat cabang falsafah metafizik yang berkaitan dengan mengajar berpandukan matlamat pendidikan(mesti ada sebab dan akibat). Melalui cabang metafizik, para pelajar diajar tentang matlamat sebenar pembelajaran yang diajar kepada mereka dan mereka dapat memahami bahawa setiap yang diajar itu mempunyai sebab dan akibatnya kepada diri mereka. Disamping itu, jika dilihat pada cabang falsafah lain iaitu "aksiologi" yang berkait dengan nilai seperti estetika dan keagamaan, seseorang individu itu dididik untuk berfikir apa yang seharusnya berlaku kepada kehidupannya. Kesemua cabang falsafah ini bukan sahaja berkait rapat dengan FPK tetapi turut menyumbang kepada pembentukan sistem pendidikan dalam FPK itu sendiri. Oleh itu, sekiranya seseorang pendidik itu menggunakan falsafah-falsafah ini dalam pembelajarannya dia dapat menyampaikan ilmu kepada para pelajarnya dengan lebih berkesan.

REFLEKSI PENDIDIKAN DAN PENGAJARAN SENI MINGGU KE-5

Pada minggu ini, saya dan rakan-rakan sekelas telah diajar bahawa terdapat pelbagai falsafah yang telah mewarnai keseluruhan kehidupan manusia terutamanya dalam aspek pendidikan. Falsafah-falsafah ini telah memberi banyak pengetahuan tentang sistem dan aspek pendidikan yang terdapat di dalam negara kita. Melalui penelitian dan pemerhatian semasa dalam kelas, terdapat beberapa cabang falsafah dalam dunia ini iaitu metafizik/ontologi, epistemologi, aksiologi dan logik. Salah satu falsafah pendidikan dalam konteks seorang pendidik ialah "kita sebagai pendidik adalah arkitek yang membina manusia agar menjadi manusia yang berguna". Menerusi falsafah ini dapatlah difahami bahawa salah satu faktor penentu kecemerlangan pelajar adalah keupayaan atau kebolehan seseorang pendidik itu dalam menyampaikan ilmu dengan berkesan. Selain itu, kami turut diberi beberapa tugasan seperti membuat blog, menganalisis FPK(Falsafah Pendidikan Kebangsaan), mencari makna beberapa perkataan dan sebagainya.