Jumaat, 17 Mei 2013

LAPORAN PEMERHATIAN PENDIDIKAN DAN PENGAJARAN SENI DI SEKOLAH KEBANGSAAN BUNUT SUSU, PASIR MAS, KELANTAN


Pada minggu ke-8 saya dan rakan-rakan dikehendaki  membuat pemerhatian terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran subjek Pendidikan Seni Tahun 4 di sekolah-sekolah rendah,
berikut adalah laporan saya:- 

Ketika di dalam kelas guru yang bertanggungjawab untuk mengajar subjek ini ialah cikgu Latipi. Semasa kelas berlangsung, beliau telah menggunakan beberapa strategi pengajaran iaitu strategi pendekatan, teknik, kaedah dan sebagainya semasa mengajar di dalam kelas 4 Bestari.
Dalam kelas ini, cikgu Latipi telah merancang untuk menjalankan aktiviti membuat kolaj menggunakan kertas lukisan dan kertas warna pelbagai warna. Antara bahan dan alat yang digunakan adalah pensel, pemadam, gunting, kertas lukisan, kertas warna(pelbagai warna) dan gam.  Sesi pengajaran dan pembelajaran ini bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 10.00 pagi.

PENDEKATAN
Ketika proses "P&P"berlangsung, berdasarkan pemerhatian saya mendapati bahawa guru tersebut lebih banyak menggunakan pendekatan berpusatkan guru(Teacher Center). Beliau memulakan kelas dengan memberikan penerangan dan demonstrasi terlebih dahulu kepada murid-muridnya tentang aktiviti yang akan dilaksanakan. Disamping itu, terdapat pendekatan berpusatkan murid(student center) di mana cikgu Latipi telah memberikan ruang dan peluang kepada murid untuk melaksanakan aktiviti. Tambahan lagi, "tool centered" turut digunakan semasa cikgu Latipi telah menggunakan beberapa bahan dan alatan bagi memastikan berjalan dengan lancar. Apabila murid-murid mula menghasilkan karya kolaj mereka, cikgu Latipi akan mengunjungi mereka dan mengajarkan teknik kolaj yang betul terutamanya semasa mengunting dan menampal kertas. 



KAEDAH
Sepanjang kelas dijalankan, cikgu Latipi telah menggunakan kaedah secara terus iaitu guru member arahan secara terus kepada murid-muridnya semasa aktiviti ini berlangsung. Ketika menyampaikan ilmu, beliau telah memberikan arahan yang jelas(agak kuat) dan murid-murid dilihat mampu memahami apa yang ingin disampaikan oleh guru mereka. Selain itu, cikgu Latipi  turut mengguna pakai perkataan-perkataan(termasuk dalam dialek Kelantan) dan ayat-ayat yang mudah difahami oleh murid dalam keadaan santai.

TEKNIK
Semasa kelas berlangsung, cikgu Latipi telah menggunakan teknik simulasi. Pada mulanya, cikgu Latipi menayangkan gambar-gambar kolaj dan video membuat kolaj. Seterusnya, guru seni ini telah menunjukkan cara atau demonstrasi teknik membuat kolaj di hadapan murid-murid. Dengan adanya tayangan gambar, video dan demonstrasi teknik daripada cikgu Latipi ini, beliau telah berjaya membuat murid-muridnya memahami bagaimana kolaj ini dihasilkan. Tambahan, melalui teknik simulasi ini, cikgu Latipi dapat mencetuskan idea baru tentang tema kolaj yang ingin dihasilkan oleh murid-muridnya.

STRATEGI
Dalam kelas ini, cikgu Latipi turut menggunakan strategi bagi membolehkan proses P&P berjalan dengan lebih sistematik dan lancar. Mengikut pemerhatian saya, beliau telah menggunakan strategi SMART iaitu specific, measurable, attainable, relevant dan timely atau time bound. Sebagai contohnya, dari sudut spesifik, cikgu Latipi berjaya membantu murid-muridnya dengan menyampaikan maklumat dan cara membuat kolaj dengan tersusun, sistematik dan mudah difahami            dalam membuat karya kolaj seperti yang telah dirancang oleh beliau. Cikgu Latipi telah memberi penerangan secara terperinci kepada murid tentang aktiviti pada hari ini. Akhirnya, setelah selesai menghasilkan karya, murid-murid dikehendaki mempamerkan karya mereka dan  cikgu Latipi turut meminta murid-muridnya menyatakan perasaan mereka setelah berjaya menghasilkan karya menggunakan teknik kolaj.

RUMUSAN
Konklusinya, berdasarkan pemerhatian saya semasa mengikuti kelas teknik kolaj ini, saya mendapati cikgu Latipi telah berjaya menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan kerana beliau dapat menjadikan kelas berlangsung dalam suasana ceria serta terkawal. Pemerhatian ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman saya tentang strategi dan kaedah sebenar dalam mendidik seseorang pelajar atau murid agar mereka lebih memahami tentang apa yang diajarkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan