Jumaat, 17 Mei 2013

REFLEKSI MINGGU KE-7


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

         Pada minggu ke-7,  saya dan rakan-rakan sekelas telah ditugaskan membentangkan tajuk  yang telah ditugaskan kepada kami pada minggu lepas. Kami telah ditugaskan untuk membentangkan tentang  skop atau strategi pengajaran yang berkesan untuk subjek pendidikan seni. Kebanyakan kumpulan termasuk kumpulan kami telah menggunakan strategi SMART dalam perbentangan ini, tetapi strategi SMART yang kami bentangkan berlainan dengan strategi SMART kumpulan lain terutamanya kumpulan yang diketuai oleh rakan kami, Suhaimi.  Bagi kumpulan kami SMART yang dimaksudkan adalah S- Spesifik, M-Medium, A-Aktif, R-Ruang dan  T-Transformasi.
         Kumpulan kami mengklasifikasikan “S” sebagai spesifik kerana kesemua maklumat semasa proses pembelajaran perlulah jelas spesifik iaitu khusus, berfokus, jelas, dan mudah untuk difahami . Bagi kumpulan kami spesifik ini begitu penting kerana setiap maklumat dan pembelajaran yang disampaikan perlu disusun dengan lebih sistematik oleh seseorang guru itu supaya para pelajar atau murid akan lebih mudah untuk memahaminya.
         Seterusnya, “M” iaitu Medium pula membawa maksud teknik yang diguna semasa proses pengajaran seperti menggunakan alat bantu mengajar semasa pengajaran dan pembelajaran berjalan. Melalui alat bantu mengajar seperti komputer(tayangan “slide show”), guru-guru dapat memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada para pelajar. Selain itu, penggunaan medium ini  dapat menarik minat pelajar untuk belajar melalui paparan visual, tayangan gambar, video, animasi dan sebagainya.
          “A” iaitu Aktif yang dimaksudkan oleh kumpulan kami semasa perbentangan adalah kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu diwujudkan dalam suasana yang aktif antara guru dan pelajar . Dengan adanyanya komunikasi ini hubungan antara guru dengan  para pelajarnya akan lebih rapat lagi dan ini dapat menghilangkan perasaan malu dalam diri pelajar-pelajar untuk bertanya semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Maka, proses pembelajaran akan berlangsung dalam suasana yang ceria sekaligus memudahkan para pelajar dalam memahami tentang apa yang diajar .
          Manakala , “R” iaitu Ruang pula bermaksud  keperluan yang perlu diberikan kepada pelajar dalam menonjol dan mengasah bakat yang mereka miliki , contohnya kemahiran melukis, mewarna, berimaginasi,bermain alat muzik dan sebagainya. Ruang amat penting kepada seseorang pelajar itu supaya bakat dan kebolehan diri yang mereka miliki tidak akan disia-siakan begitu sahaja.
           Akhir sekali, “T” iaitu Transformasi yang membawa maksud adalah perubahan, revolusi, anjakan atau perubahan yang perlu dilaksanakan oleh para guru atau pengajar semasa  pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Dalam konteks pendidikan, transformasi ini begitu penting bagi membolehkan para pelajar lebih menguasai ilmu yang diajar dan dapat mengelakkan  mereka cepat bosan semasa kelas berlangsung. Oleh itu, guru atau pengajar perlu mencuba pelbagai teknik baru dan mempelbagaikan kaedah pengajaran bagi menarik minat pelajar.
            Kesimpulannya, melalui pembentangan-pembentangan yang dilakukan pada minggu ini banyak membantu  kami dalam memberi input-input yang baru dalam strategi pengajaran dan pembelajaran  untuk digunakan di waktu-waktu yang memerlukan. Sememangnya pembentangan ini amat penting untuk meningkatkan lagi keupayaan kami sebagai seseorang yang bakal bergelar  seorang“guru” dalam menyalurkan maklumat kepada para pelajar pada masa hadapan.


Terima kasih kerana membacanya...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan